Pengertian Riak
Riak itu ialah melakukan kebaikan dan amal ibadat semata-mata untuk mencari tempat di dalam hati manusia.
Perkara yang diriakkan oleh manusia;
1- Riak dari segi badan
Riak jenis ini menunjukkan seseorang itu menampakkan keletihannya kerana berpuasa dan banyak berjaga malam untuk beribadat.
2- Riak pada pakaian
Seseorang
itu memakai pakaian yang menunjukkan kewarakan dirinya sedangkan
hakikatnya tidak. Memakai pakaian sebegini di hadapan golongan tertentu
kerana kepentingan diri sedangkan di waktu lain dia bukanlah sebegitu
malah hatinya juga bukanlah berniat untuk mendapat keredhaan Allah
tetapi mengharap penghormatan daripada orang lain.
3- Riak dengan perkataan.
Riak ini
adalah seseorang itu menunjukkan dirinya seorang yang benar dan ikhlas
melalui perkataan yang keluar dari bibirnya. Tuturnya seperti seorang
penasihat dan pensyarah. Dia memilih lafaz-lafaz yang halus dan dalam
maknanya juga kata- kata hikmat beserta hadith. Dia juga berkata seperti
kata para Nabi dan aulia sedangkan pada hakikatnya dia sebenarnya sunyi
dan kosong.
4- Riak pada amalan
Orang
sebegini adalah sering menzahirkan khusyuk dalam solat dan sengaja
memanjang-manjangkan rukuk dan sujud apabila ada orang melihatnya. Orang
seperti ini sering bersedekah secara terang-terangan, pergi menunaikan
fardhu haji, berjalan menundukkan kepala dan kurang berpaling ke kanan
dan ke kiri padahal Allah mengetahui batinnya. Sedangkan jika dia
bersendirian amalannya bukan sempurna sebegitu, seperti solat dengan
cepat, berjalan laju dengan matanya sering meliar ke sana ke mari dan
sebagainya.
5- Riak dengan ramainya murid dan pengikut.
Seseorang
itu berasa bangga dengan murid dan pengikut yang ramai. Demikian juga
seperti seseorang yang sering menyebut nama ulama’ itu dan ulama’ ini
bagi menunjukkan dirinya seorang yang banyak bertemu dengan syeikh dan
ulama.
Peringkat Riak
1- Riak Akbar
Riak akbar
ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan
sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah SWT.
Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya
kerana hanya berkiblatkan manusia.
2- Riak Asghar
Riak asghar
ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada
manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan
kerana yang lain daripada-Nya. Riak ini adalah lebih ringan daripada
riak akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan kepada
manusia pada satu segi yang lain.
3- Riak Jali ( yang terang )
Riak ini
ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan
jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan amal.
4- Riak Khafi ( yang tersembunyi )
Riak ini
pula ialah riak yang tesembunyi dan ianya tersembunyi dalam hati di mana
ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat.
Bagaimana mengelakkan sifat riak?
Rawatan
terbaik bagi segala penyakit di muka bumi ini adalah menghindari dengan
menjauhi sebab-sebab dan punca terjadinya penyakit. Begitu jugalah
kepada penyakit riak ini, iaitu menjauhi sebab-sebab yang boleh membawa
kepada perasaan itu, antaranya ialah;
- Sifat suka dipuji oleh orang lain. Sifat ini akan membawa kepada bangga diri dan suka menunjuk-nunjuk kelebihan kepada orang lain.
- Takut dikritik atau dicerca oleh orang lain. Ketakutan ini boleh membawa kepada penampilan yang kurang jujur dan suka berpura-pura.
- Cintakan kehidupan dan kemewahan dunia dan lupa pada kematian. Seseorang itu melakukan segala pekerjaan adalah semata-mata kerana untuk menarik perhatian orang lain, dan menganggap dirinya hebat. Manusia sebegini mengharapkan ganjaran atas segala pekerjaan yang dilakukan.
Setelah
mengetahui sebab-sebab yang menjadi punca riak, mari kita lihat
bagaimanakah cara untuk menghindarinya. Terdapat beberapa cara untuk
menghindari sifat riak daripada menguasai hati;
- Sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang perkara yang diperintahkan Allah dan juga sering menyucikan hati dengan melakukan ibadat-ibadat khusus seperti zikir dan membesarkan kekuasaan Allah.
- Mengawasi diri agar sentiasa takut akan kemurkaan Allah. Dengan tabiat ini akan membawa diri agar sentiasa berwaspada dalam melakukan perkara yang boleh mengheret kepada dosa dan seksaan Allah pada hari akhirat kelak.
- Berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala amalan yang dilakukan akibat riak.
- Menanamkan dalam diri perasaan bahawa melakukan sesuatu itu kerana manusia sehingga membawa kemurkaan Allah itu adalah suatu perkara yang buruk dan patut dijauhkan.
- Sentiasa mengawasi diri daripada lalai terhadap ujian dan nikmat yang dikurniakan Allah untuk menghampirkan diri kepada Allah.
- Ikhlaskan diri dalam setiap amalan yang dilakukan.
LATIHAN
No comments:
Post a Comment